TAMPIN: Seorang lelaki nekad untuk berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sakit dan terlantar di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh, sejak tiga tahun yang lalu.
Mohd. Murtadza Mohd. Rashid, 33, berkata, dia berbuat demikian setelah melihat pengorbanan kakaknya, Nurzaiakma Mohd Rashid, 35, yang terlebih dahulu berhenti kerja bagi menjaga ibu mereka, Noorazain Jabriel @ Zainal, 58, yang diserang angin ahmar lima tahun lalu.
Dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tenaga pengajar di Institut Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan berkata, di peringkat awal, ibunya masih boleh bergerak namun keadaan kesihatannya semakin memburuk sehingga menyebabkan anggota badan terutamanya kaki sukar digerakkan.
“Apabila ibu terlantar serta memerlukan penjagaan lebih rapi, kami enam beradik berbincang dan sepakat untuk memberikan tanggungjawab menjaga ibu kepada anak lelaki. Masa itu, saya duduk di Seremban sahaja dan paling dekat dengan ibu, jadi saya nekad untuk berhenti kerja bagi menguruskan ibu.
“Sepanjang tempoh tiga tahun ini tentulah banyak cabaran menjaga ibu namun saya cekalkan hati demi ibu tersayang,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh, di sini semalam.
Mohd. Murtadza berkata, penjagaan ibunya kini bergantung sepenuhnya kepada dia untuk menguruskan diri termasuk makan minum serta membersihkan diri.
Menurutnya, daripada segi bantuan, dia dan keluarga bernasib baik kerana ibunya mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM417 sebulan.
“Bantuan ini sepenuhnya digunakan bagi keperluan membeli susu, ubat-ubatan dan lampin pakai buang ibu. Alhamdulilah, semuanya dipermudahkan,” katanya.
Menurut Mohd. Murtadza lagi, sepanjang tempoh tiga tahun menjaga ibunya itu, dia mencuba mencari pendapatan melalui jualan pelbagai produk menerusi dalam talian.
“Saya cuba mencari pendapatan melalui jualan dalam talian saya menggunakan platform Facebook Abang Bunga. Saya juga ada membuat jualan rendang pucuk ubi serendah harga RM12 mengikut permintaan dan menjualnya secara dalam talian,”ujarnya. – UTUSAN ONLINNE