KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menambah peruntukan kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani isu kesihatan mental pada pembentangan Belanjawan 2022 yang dijadualkan 29 Oktober ini.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sudah tiba masanya kerajaan menjadikan kesihatan mental sebagai agenda utama negara.
“Hal ini kerana rakyat perlu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.
“Masalah pengangguran, kekurangan pendapatan, kehilangan ahli keluarga dan pelbagai lagi akan membawa mereka ke arah keresahan, tekanan serta kemurungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas dan mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan semasa pelancaran program Lets Talk Minda Sihat, baru-baru ini.
Menurut beliau, pusat kecemerlangan itu membolehkan segala tenaga pakar digembleng seperti pakar kesihatan mental, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segala sumber tenaga untuk memberi fokus penuh terhadap isu kesihatan mental di Malaysia.
“Malah, kita juga boleh mengadakan lebih banyak latihan, seminar yang akan membantu mewujudkan lebih banyak alternatif dan jalan keluar dalam usaha memerangi masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE