Belanjawan 2022: Beri perhatian isu kenaikan harga barangan pembinaan - Utusan Malaysia

Belanjawan 2022: Beri perhatian isu kenaikan harga barangan pembinaan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menjelang pembentangan Belanjawan 2022 Jumaat ini, Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi perhatian bagi menangani kenaikan harga barang ketika ini termasuk dalam industri pembinaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, di peringkat negeri sudah tentu mahu melihat ekonomi rakyat dapat kembali pulih selepas terjejas teruk ekoran penularan Covid-19.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik menerusi belanjawan negeri yang turut dibentangkan kelak bagi menggalak pembangunan ekonomi negeri namun ia juga bergantung kepada keadaan belanjawan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kami mahu melihat ekonomi Negeri Sembilan kembali berjalan dengan baik, pelaburan dapat kembali semula dan rakyat kembali gembira. Peniaga kecil, sederhana dan besar dapat teruskan perniagaan dan rakyat dapat pekerjaan.

“Kontraktor juga dapat teruskan kerja-kerja mereka, ini akan pulihkan banyak rantai ekonomi lain namun berlaku kenaikan harga barang termasuk dalam sektor pembinaan, ini faktor yang perlu dilihat oleh Kerajaan Persekutuan menerusi belanjawan yang akan dibentang tidak lama lagi.

“Di peringkat negeri, kami cuba yang terbaik namun Kerajaan Persekutuan harus melihat isu kenaikan harga barang ini, ia akan memberi kesan kepada belanjawan Negeri Sembilan juga. Harga barangan pembuatan, pembinaan naik, barangan lain juga akan naik,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, tambah beliau, pihaknya tidak menerima aduan daripada pihak persatuan kontraktor mengenai keadaan kenaikan harga barangan pembinaan namun di pihak syarikat swasta perkara itu ada dimaklumkan kepadanya.

“Di Negeri Sembilan, pembinaan bangunan itu agak terhad sedikit dan belum ada (aduan) daripada persatuan kontraktor, namun bagi pihak swasta yang menjalankan projek perumahan ada memaklumkan terdapat kenaikan pada harga barang binaan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut berharap supaya harga barang pertanian yang meningkat seperti baja, makanan ternakan dan racun turut dapat diberi perhatian dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN