Bekas pemandu lori bebas tuduhan cuba rogol, seks luar tabii

Bekas pemandu lori bebas tuduhan cuba rogol, seks luar tabii terhadap anak tiri

BEKAS pemandu lori (kiri) berbual dengan K. Rakhbir Singh selepas dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara kerana cuba merogol dan seks luar tabii terhadap anak tirinya. -  FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini daripada sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan cuba merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun, di Penampang, Sabah, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng turut mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap lelaki berusia 39 tahun itu atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama.

Beliau yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara berpuas hati sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen, tidak selamat untuk dikekalkan.

Panel itu berpuas hati bahawa pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah pada kes pendakwaan bahawa ibu mangsa (saksi pendakwaan) menyatakan anak perempuannya mengada-adakan cerita dan keterangannya tidak boleh dipercayai.

Mahkamah turut berpendapat, hakim bicara gagal membuat dapatan berhubung isu kredibiliti saksi ketika memutuskan untuk bergantung kepada keterangannya semata-mata ketika memutuskan kes prima facie.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rayuan akhir perayu (namanya tidak didedahkan kerana mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa) dan mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan terhadapnya.

Perayu diwakili oleh peguam Datuk Seri K. Rakhbir Singh manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee.

Lelaki itu didakwa cuba merogol mangsa di rumah mereka di Penampang kira-kira pukul 12 tengah hari, 20 Mac 2015 manakala tuduhan kedua melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di tempat sama, sehari sebelumnya.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mendapatinya bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dan menjatuhkan hukuman tersebut secara serentak.

Mahkamah Tinggi pada 10 Disember 2019 mengekalkan sabitan namun membenarkan rayuan silang pendakwa raya dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa secara berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya