GEORGETOWN: Kawasan pantai peranginan popular di sekitar Pulau Pinang terutama di Batu Ferringhi yang sebelum ini sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali meriah.
Kawasan tersebut diserbu orang ramai selepas kebenaran rentas negeri diberikan bermula 11 Oktober lalu.
Kelonggaran yang diberikan kerajaan membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke kawasan pantai bersama keluarga.
Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar pantai Teluk Bahang sehingga ke Batu Ferringhi mendapati, laluan di sepanjang persisiran pantai itu sesak.
Aktiviti mandi-manda, memancing, jualan makanan dan aktiviti sukan rekreasi pantai juga kembali hidup menjadikan kawasan itu seperti pesta.
Bagaimanapun orang ramai didapati tidak bersesak di satu-satu lokasi dan mematuhi penjarakan fizikal.
Seorang pengunjung, Rozi Wahab, 30, berkata, dia mengambil peluang berkelah di pantai memandangkan sudah lama tidak melakukan aktiviti bersama keluarga.
Dia yang tinggal di Balik Pulau berkata, dia tetap memastikan ahli keluarganya mematuhi SOP seperti tidak berada di kawasan yang terlalu ramai pengunjung.
Seorang pengusaha sukan rekreasi pantai, Amirul Hakimi Ahmad, 29, berkata, dia lega apabila perniagaannya dapat kembali beroperasi selepas kebenaran rentas negeri.