KANGAR: Kelibat seorang bapa bersama anaknya berbusana Melayu yang lengkap dengan keris dan tanjak menarik perhatian ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020 di sini, semalam.
Ahmad Syahril Mohamad Nawi, 40, yang membawa anak sulungnya, Ahmad Syafi Putra, 12, menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV tersebut turut tidak ‘menang tangan’ melayan permintaan orang ramai yang ingin bergambar dengan mereka yang segak berpakaian tradisional Melayu itu.
Kata Ahmad Syahril, dia dan anaknya memakai busana berkenaan adalah bagi membawa mesej supaya masyarakat tidak malu memperagakan pakaian tradisional itu selain perlu menjaga warisan tersebut.
Katanya, selain dia dan Ahmad Syafi, seorang lagi anaknya Ahmad Saif Putra turut mengenakan busana Melayu itu.
Jelasnya, langkah tersebut secara tidak langsung dapat memperkenalkan kembali busana Melayu lama yang semakin hari semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kami pergi ke PPV tersebut pada pukul 8.30 pagi dan anak saya selesai menerima suntikan vaksin bagi dos kedua itu sejam kemudian. Ketika sampai, ramai yang melihat kami dan ada juga yang ingin bergambar dan melihat kami seperti pendekar Melayu ‘Hang Tuah’.
“Busana yang dipakai itu adalah milik saya sendiri dan saya juga mempunyai koleksi busana Melayu berkenaan. Sebelum ini, saya juga lengkap memakai busana Melayu ketika menerima vaksin.
“Meskipun ramai yang memerhati, namun, saya dan anak-anak bangga dapat memperagakan busana warisan Melayu itu dan akan terus memperjuangkan warisan ini,” kata jurutera tersebut.
Tambah Ahmad Syahril, selain mempunyai koleksi busana Melayu, dia juga mengambil tempahan membuat tanjak yang masih mendapat sambutan.
“Anak saya juga dilihat mempunyai minat sama dengan busana warisan Melayu ini selain turut belajar ilmu persilatan bersama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong cawangan Pendang,” katanya.
Sementara itu, katanya, orang ramai dan anak mereka yang masih belum menerima suntikan vaksin disarankan segera berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga.