MELAKA: Beberapa kawasan di sekitar Ayer Keroh dan Jasin di sini dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 2 petang tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tun Abdul Razak turut mendapati, laluan di persimpangan lampu isyarat Jalan Lingkungan Usaha menghala ke pusat bandar turut ditenggelami banjir dan ditutup kepada pengguna jalan raya.
Sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut berada di lokasi, selepas sebuah kereta terbabas secara melintang di laluan bertentangan.
Antara lokasi lain yang dilanda banjir ialah Taman Bukit Melaka, Kampung Telok, Taman Melawis, Taman Bukit Beruang Utama dan Kampung Bukit Tambun.
Jurucakap JBPM negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.48 petang bagi penyelamatan khidmat khas banjir membabitkan sebuah kereta tenggelam di Kampung Asam Kumbang Bemban, Jasin.
“Sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Setiba di lokasi kita dapati terdapat dua mangsa berdiri di atas bumbung kereta dipercayai cuba menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki mereka itu ditenggelami banjir,” katanya ketika dihubungi.
Ujarnya kedua-dua mangsa diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, banjir kilat dipercayai berlaku akibat saliran longkang tersumbat, lantas menyebabkan air melimpah ke laluan jalan raya.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka. – UTUSAN ONLINE