fbpx

Banjir: 259 mangsa dari lima kawasan dipindahkan ke PPS

PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk di Kampung Labu Lanjut, Sepang, Selangor apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras 1.2 meter selepas hujan lebat melanda semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Insiden hujan lebat yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor semalam menyebabkan sembilan kawasan di negeri ini dinaiki air, empat daripadanya membabitkan banjir kilat sementara lima lagi memerlukan operasi pemindahan mangsa dilakukan.

Kesemua sembilan kawasan terbabit adalah di kawasan Taman Melawis, Persiaran Bukit Raja, Jalan Mohd. Yamin dan Kampung Raja Uda, Klang; Bukit Kemuning, Shah Alam; Stesen Komuter UKM, Bangi; Jalan Sungai Melut, Cyberjaya dan Kampung Salak Tengah serta Kampung Labu Lanjut di Sepang.

Seramai 259 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dinaiki air, kawasan yang terjejas teruk adalah di Kampung Labu Lanjut, Sepang apabila dianggarkan 200 mangsa dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air sehingga 1.2 meter.

Kesemua mereka dipindahkan ke PPS di surau berhampiran selepas paras air sejak pagi tadi dilaporkan masih lagi statik.

Dalam daerah sama di Salak Tinggi, seramai sembilan mangsa dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Salak Tinggi apabila kediaman di Jalan Haji Mustafa di Kampung Salak Tengah dinaiki air sehingga enam kaki akibat limpahan air Sungai Batang Labu.

Di kawasan lain seperti Cyberjaya, seramai 12 penduduk dipindahkan ke PPS Bukit Tampoi apabila rumah mereka di Jalan Sungai Melut, Tasik Seberang dianiki air sehingga 1 meter semalam. Bagaimanapun keadaan air pada pagi tadi dilapor mulai surut.

Di Shah Alam, seramai tujuh orang mangsa termasuk empat warga emas yang tinggal di Jalan Batu Bata, Bukit Kemuning berpindah ke rumah saudara terletak berhampiran apabila kediaman mereka dimasuki dinaiki air sehingga dua kaki.

Di Klang pula seramai 31 termasuk dua warga emas yang tinggal berhampiran dengan Sungai Klang di Jalan Mohd. Yamin dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah apabila air sungai berkenaan melimpah menyebabkan rumah mereka dinaiki air sehingga enam kaki.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, daripada kesemua kawasan, hanya paras air di Sepang sahaja dilihat statik sehingga pagi tadi dan di tempat lain pula air mulai surut.

Menurutnya, walau bagaimanapun, di PPS di Kampung Labu Lanjut, salah seorang mangsa didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan sebelum mereka dibenarkan duduk di sana.

“Semua mangsa terlibat berkumpul di Surau Abadi seterusnya akan ditempatkan di PPS selepas ujian saringan yang dilakukan oleh KKM susulan terdapat seorang mangsa positif Covid-19.

“Pihak bomba hanya membuat pemantauan di lokasi dan membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan. Keadaan paras air di Kampung Labu Lanjut masih lagi dalam keadaan statik,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa kawasan di daerah ini termasuk Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur dilanda banjir kilat ekoran limpahan air sungai akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi.

Antara kawasan terlibat ialah kawasan berhampiran Jusco Bukit Raja, Bandar Baru Klang; Taman Melawis dan Jalan 3 Off Jalan Mohd. Yamin, Pelabuhan Klang.

Norazam memberitahu dalam operasi menyelamat di sana semalam semalam, pihak bomba berjaya memindahkan 31 penduduk di 15 buah rumah yang dinaiki air setinggi 1.82 meter.

“Kejadian banjir di Jalan Haji Mustafa Salak Tengah, Sepang melibatkan 17 orang dari tiga keluarga setelah air naik 1.82 meter, dan kesemua mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Salak Tinggi.

“Sementara itu di Jalan Batu Bata Bukit Kemuning tujuh mangsa daripada dua keluarga terpaksa menumpang rumah saudara setelah air naik 0.6 meter pukul 7 petang semalam,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI