PETALING JAYA: Bajet yang diperuntukkan untuk pelancongan perubatan seharusnya lebih besar berbanding yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022, semalam.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ini kerana segala bentuk aktiviti dalam menghidupkan semula pelancongan perubatan adalah kunci kepada pihak kerajaan untuk meningkatkan hasil bagi semua pihak yang berkepentingan.
Katanya, perkara tersebut juga dapat dijadikan sebagai pendapatan tambahan industri pelancongan khususnya pemain industri sedia ada.
“Peruntukan RM20 juta untuk mempromosikan pelancongan perubatan should have been more. Ini akan menjadi pendapatan tambahan kepada industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Semalam, kerajaan mengumumkan akan memberi peruntukan sebanyak RM 32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan yang meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Bagaimanapun Dr. Kuljit berkata, pihaknya juga amat menghargai usaha kerajaan yang memberikan bajet sehingga RM4 bilion untuk pengurusan Covid-19 yang merangkumi pembelian perkhidmatan dari hospital swasta dan vaksinasi khasnya dos penggalak.
“Pengukuhan penjagaan kesihatan awam amat bagus untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan di hospital awam,” katanya.