PETALING JAYA: Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat penyenaraian awam.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan itu dijangka berkuat kuasa pada 1 September tahun hadapan bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai.
“Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh. Buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.
“Namun, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita.
“Sebab itu, kerajaan mewajibkan pelantikan kepada seorang wanita bagi mengiktiraf peranan mereka dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kata Tengku Zafrul, kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan golongan itu dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
Antara lain, katanya, sejumlah RM230 juta dana pembiayaan akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (Dananita) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekunita di bawah TEKUN Nasional.
“Kerajaan akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM30 juta bagi kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan terutama di hospital dan universiti awam selain akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat.
“Kerajaan turut bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga tiga ribu bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023,” katanya.