PUTRAJAYA: Bajet 2022 yang dibentangkan semalam dilihat mampu memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan ketika ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan negara.
Beliau berkata, bajet itu juga akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi.
“Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
“Peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan juga amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Justeru, beliau berharap penekanan terhadap sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik, tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.
Muhyiddin berkata, peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.
Menurutnya, beliau juga berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.
Beliau pada masa sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas pembentangan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ bernilai RM332.1 bilion iaitu bajet yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara.
“Bajet 2022 ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, baik individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.
“Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, Bajet 2020 amat penting bagi memastikan kejayaan 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia sekali gus menyeru semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lancar demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.