PETALING JAYA: Rafizi Ramli meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil jalan singkat dengan memilih wakil rakyat yang melompat parti sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini setelah Pakatan Harapan (PH) dilihat seolah-olah mengalu-alukan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Namun, bagi Rafizi yang merupakan Naib Presiden PKR, beliau menyifatkan PKR yang selama ini menolak wakil rakyat melompat parti, tidak seharusnya menerima golongan itu tanpa memikirkan kesannya.
“Pandangan saya, sebagai pengundi dan orang lama parti, menerima watak-watak yang dipandang serong oleh rakyat kerana tindakan tidak berprinsip mereka selama ini adalah satu kesilapan yang menghakis keyakinan rakyat,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Justeru, beliau berpendapat, keempat-empat wakil rakyat itu tidak sewajarnya menjadi sebahagian daripada strategi untuk memenangi PRN Melaka.
“Janganlah ambil jalan singkat atas nama strategi,” katanya sambil menujukan perkara itu kepada akaun Twitter milik Anwar.
Hari penamaan calon PRN Melaka akan diadakan pada 8 November, disusuli dengan hari pengundian pada 20 November ini. – UTUSAN ONLINE










