Anwar mahu pendedahan Pandora Paper dibahas di Parlimen - Utusan Malaysia

Anwar mahu pendedahan Pandora Paper dibahas di Parlimen

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar usul agar Dewan Rakyat membahaskan pendedahan ‘Pandora Paper’ yang membabitkan beberapa anggota Kabinet dan pemimpin politik kerajaan serta pembangkang.

Menurut Anwar, beliau telah menghantar suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun setelah mengambil maklum pendedahan Pandora Papers awal pagi tadi.

“Saya menggesa Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara. Saya percaya perkara ini juga adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan pembangkang.

“Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi surat dikirim Anwar kepada Azhar, Ahli Parlimen Port Dickson berkata pendedahan itu membabitkan nama seperti Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong dari PKR. 

Portal media hari ini melaporkan beberapa pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Sebaliknya, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengkritik satu laporan yang mengaitkan keluarga dan rakan perniagaannya dengan syarikat dan pemegang amanah bernilai RM141 juta.

Beliau berkata, “tidak tahu atau tiada kawalan” atas perniagaan tersebut, walaupun mengakui ada yang merupakan milik anaknya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN