'Airasia ride' lancar perkhidmatan di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

‘Airasia ride’ lancar perkhidmatan di Pulau Pinang 

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) dan Lim Chiew Shan (kiri) ketika melancarkan aplikasi 'airasia ride' di Pulau Pinang di pekarangan Komtar, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Setelah melancarkan perkhidmatan e-hailing terbaharu di Lembah Klang dan Langkawi, ‘airasia ride’ dilancarkan di Pulau Pinang hari ini dengan sasaran menyediakan lebih kemudahan dan penjimatan kadar yang kompetitif untuk penduduk negeri ini dan peluang pendapatan lebih baik kepada pemandu.

Ketua Pegawai Eksekutif ‘airasia ride’ Malaysia, Lim Chiew Shan berkata, pelanggan di Pulau Pinang kini dapat menikmati tawaran terbaik bukan sahaja untuk penerbangan, malah ketika menempah perjalanan dengan tambang terendah melalui satu platform yang mudah iaitu ‘airasia Super App’.

“Kami melancarkan ‘airasia ride’ dengan mengutamakan pemandu supaya mereka boleh memilih pekerjaan yang selesa dan menawarkan tambang yang berpatutan kepada pelanggan.

“Kami berharap untuk mendemokrasikan perniagaan e-hailing dengan mempraktikkan model kos rendah dengan ciri-ciri dan keselamatan tertinggi untuk memberikan lebih penjimatan kepada pelanggan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran ‘airasia ride’ di Komtar, di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sempena pelancaran airasia ride di negeri ini, penumpang boleh menikmati perjalanan percuma setiap hari bermula hari ini hingga 3 November dengan kod promosi FREERIDE.

Menurut Chiew Shan, ‘airasia ride’ juga menawarkan tambang lebih rendah sebanyak 10-15 peratus dan mampu menawarkan nilai terbaik dalam pasaran e-panggilan yang berdaya saing.

Katanya, pemandu airasia ride juga mempunyai kelebihan tambahan untuk memanfaatkan jenama syarikat penerbangan dalam memperoleh pelanggan untuk perjalanan pergi dan balik dari lapangan terbang.

“Selain itu, airasia ride mengamalkan strategi ‘mengutamakan pemandu’ yang membolehkan mereka menerima pendapatan keseluruhan lebih tinggi dan menikmati kehidupan lebih baik kerana 85 peratus daripada tambang tersebut diberikan kepada pemandu.

“Mereka juga diberi kebebasan untuk memilih kekerapan dan jumlah tempahan mengikut keselesaan dan ketersediaan mereka,” katanya.

Tambahnya, untuk kemudahan penumpang, mereka juga boleh membuat tempahan mengikut permintaan (on-demand) atau pra-tempahan lebih awal.

“Antara ciri khas lain yang tersedia adalah pilihan ‘Allstar Ride’ yang dipandu oleh juruterbang atau kru kabin AirAsia, mereka yang berminat untuk menyertai pasukan airasia ride boleh mendaftar dengan memuat turun aplikasi pemandu airasia ride untuk pendaftaran.

“Untuk promosi dan tawaran istimewa airasia ride yang akan tersedia tidak lama lagi, ikuti @airasiasuperapp di Instagram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN