AIGA penanda aras tingkat integriti, antirasuah - Utusan Malaysia

AIGA penanda aras tingkat integriti, antirasuah

WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 kerjasama antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Yayasan Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penganjuran julung kalinya Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 diharap menjadi penanda aras kepada kejayaan negara dalam meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan antirasuah bagi sektor awam dan juga governans dalam pengurusan sektor swasta.

Anugerah berkenaan penting dalam memastikan usaha negara mewujudkan ekosistem berintegriti dan bebas rasuah dalam organisasi sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta dapat direalisasikan.

AIGA juga bertepatan dengan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu, ‘Malaysia yang dikenali kerana integriti dan bukannya amalan rasuah’.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, anugerah itu merupakan sebuah projek rintis iaitu yang dijalankan di peringkat negeri Pahang sebelum pelaksanaannya turut dibuat di peringkat nasional pada masa akan datang.

“Anugerah ini bertitik tolak kepada persoalan asas iaitu bagaimana mekanisme yang terbaik untuk mengukur sejauh mana usaha integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi sama ada sektor awam mahupun sektor swasta dapat memberi impak yang signifikan.

“Walaupun banyak usaha dalam memastikan sesebuah organisasi itu mempunyai tadbir urus yang baik, tetapi apakah indikator terbaik boleh diguna pakai bagi mengukur keberhasilan pelaksanaannya?

“Oleh yang demikian, maka tercetusnya idea perlaksanaan anugerah ini sebagai mekanisme penilaian dan seterusnya sebagai platform kepada penghargaan terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian AIGA 2020 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, AIGA inisiatif meningkatkan pembudayaan integriti dan tadbir urus, menerusi pemberian pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan integriti, tadbir urus terbaik, dan inisiatif antirasuah dalam organisasi.

Katanya, tahniah kepada Yayasan Pahang (YP) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) atas penganjuran anugerah berkenaan yang harus dijadikan contoh kepada organisasi lain dalam memainkan peranan membantu kerajaan menangani masalah rasuah.

“Kita berharap anugerah ini dapat dilaksanakan di peringkat kebangsaan pula kerana ia dilihat sebagai pertandingan yang dapat memberi banyak impak positif khususnya sebagai pemangkin untuk menggalakkan amalan integriti dalam setiap organisasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya