Ahmad Fadhli dipilih Ketua Pemuda Pas  - Utusan Malaysia

Ahmad Fadhli dipilih Ketua Pemuda Pas 

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, 41, dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas yang baharu bagi bagi penggal 2021 hingga 2023.

Beliau memperoleh sebanyak 508 undi daripada 636 undi yang diterima pada Pemilihan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) yang berlangsung semalam sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-62, di sini.

Ahmad Fadhli menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Perak, Khalil Yahaya yang memperoleh 108 undi.

Pertandingan memilih Ketua Pemuda Pas berlangsung satu lawan satu apabila Khairil Nizam Khirudin, tidak mempertahan jawatan itu selepas sepenggal menerajui sayap kanan Pas berkenaan.

Perwakilan turut memilih Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamuddin sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas sementara Hanapi Zulkafli dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda Pas.

Seramai 709 perwakilan di seluruh negara termasuk seramai 90 perwakilan yang berada di lokasi muktamar turut memilih seramai 12 Exco DPPM bagi penggal tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua perwakilan di sini dan di seluruh negara, terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami barisan DPPM bagi sesi 2021-2023 ini untuk menerajui sayap Pemuda Pas khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

“Pemilihan parti ini juga membuktikan ia boleh dilaksanakan dalam berdepan dengan pilihan raya umum. Ia juga sekali gus membuktikan bahawa Pas sebuah parti yang matang dan apa juga isu,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, DPPM baharu ini juga akan melaksanakan idea yang dikemukakan oleh kepemimpinan Pas pusat iaitu untuk memperkukuh dan mempertahankan Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN). 

“Mengambil idea ini, kami akan turun ke akar umbi bagi menunjukkan bahawa PN dan MN merupakan pilihan yang terbaik untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menghadapi PRU-15 kehadiran pengundi baharu akan menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi termasuk oleh DPPM.

“Kami akan menggerakkan semua jentera yang ada untuk memastikan bahawa pengundi 18 tahun ini akan bersama Pas pada PRU-15,” katanya sambil memberitahu Muktamar DPPM Kali Ke-62 turut telah meluluskan usul supaya 50 peratus calon PRU-15 terdiri daripada golongan muda. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya