PETALING JAYA: Sekumpulan ahli Parlimen rentas parti bersetuju menubuhkan Kaukus Ganja Perubatan untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan ganja perubatan bagi mengurangkan kemudaratan sebagai salah satu perubatan alternatif yang diiktiraf.
Menurut Pengerusi kaukus tersebut, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penubuhan kaukus berkenaan selaras usaha mengembangkan industri ketum dan ganja perubatan di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.
“Sebagai sebahagian daripada rangka kerja awal, Kaukus Ganja Perubatan akan bertemu dengan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.
“Hasil daripada penubuhan badan ini, Kaukus Ganja Perubatan akan mengemukakan draf cadangan untuk perhatian kerajaan bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan ganja perubatan dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Syed Saddiq, antara wakil rakyat terlibat adalah Khalid Samad (Shah Alam), Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Datuk Darell Leiking (Penampang), Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).
Syed Saddiq sebelum ini menggesa agar kerajaan meneliti perbincangan yang terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.
Ahli Parlimen Muar itu berharap kerajaan dapat membentangkan kertas kerja yang mengikut data dan sains mengenai manfaat dan keburukan dalam meluluskan rawatan ganja.










