Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak operator dermaga - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak operator dermaga

ROZMAN Isli (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi kontrak pekerjaan sebagai operator dermaga. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan, tiga tahun lalu.

Rozman, 57, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak itu bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Tertuduh yang juga Ketua Whip Warisan didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.

Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di Semenanjung Malaysia manakala pasportnya ditahan sebagai syarat jaminan sehingga pelupusan kes.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan kedua-dua pihak telah memberi persetujuan berhubung wang jaminan RM100,000 dan memaklumkan Rozman akan dijamin oleh pembantu peribadinya yang menetap di Labuan.

Bagaimanapun, Rozina bertegas agar penjamin hendaklah individu yang menetap di Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan wujud masalah berhubung kehadiran ke mahkamah jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Dalam prosiding itu, Ahmad Akram turut memohon tempoh selama sebulan untuk mengemukakan dokuman yang diperlukan ketika perbicaraan kelak.

Muhammad Rafique ketika ditanya Rozina sama ada pembelaan bercadang mengemukakan representasi menyatakan, pihaknya masih menunggu dokumen kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya