ADUN lompat parti sukar kekal dalam arena politik - Utusan Malaysia

ADUN lompat parti sukar kekal dalam arena politik

ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Budaya lompat atau keluar parti kembali mewarnai arena politik Sabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Fenomena lompat atau keluar parti ini begitu sinonim dengan senario politik Sabah namun, perlu diingat situasi ini akan menyebabkan pengundi di kawasan tersebut hilang keyakinan terhadap wakil rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, biarpun fenomena keluar parti ini menjadi kebiasaan di Sabah namun, para pengundi pasti lebih berhati-hati untuk menyokong wakil rakyat tersebut pada pilihan raya yang akan datang.

Situasi ini sekali gus akan menyebabkan ADUN berkenaan sukar untuk kekal di persada politik tempatan kerana kehilangan sokongan daripada rakyat.

“Walau bagaimanapun, jika tindakan keluar parti ini dilihat sebagai tindakan yang wajar oleh majoriti pengundi di kawasan DUN tersebut maka, peluang untuk wakil rakyat ini dipilih semula masih cerah.

“Tapi perlu diingat, pengundi masa kini khususnya golongan muda dan umur pertengahan semakin matang untuk menilai sikap wakil rakyat.

“Oleh itu, sama ada wakil rakyat itu boleh bertahan dalam arena politik atau sebaliknya, ia bergantung kepada faktor-faktor sebegini,” katanya ketika mengulas mengenai keputusan ADUN Sindumin yang bertindak keluar daripada Warisan.

Mengulas lanjut katanya, tindakan wakil rakyat keluar parti akan meninggalkan kesan kepada landskap politik Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Khidmat Komuniti) UMS berkata, tindakan ADUN Sindumin itu akan mengakibatkan penguasaan Warisan di kawasan tersebut semakin goyah dan keadaan ini perlu diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan Warisan.

Pada masa ini, pucuk pimpinan parti Warisan perlu mencari jalan yang lebih berkesan bagi memastikan sokongan pengundi di kawasan tersebut tidak merudum teruk.

Keyakinan rakyat akan menjadi pudar jika wakil rakyat yang mereka pilih bertindak meninggalkan parti yang diwakili semasa pilihan raya yang lalu.

Pagi tadi, Yusof yang juga Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar Warisan dan meletak semua jawatan di dalam parti berkuat kuasa serta-merta. Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan yang memerintah hari ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN