MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendakwa, tindakan beliau dan tiga ADUN menarik sokongan sehingga jatuhnya pentadbiran pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bagi menentang kemungkaran yang berlaku.
Beliau dalam satu kenyataandi sini hari ini berkata, langkah mereka berempat bukan agenda berpolitiking tetapi ia perlu dibuat untuk membina semula keyakinan rakyat menerusi Perlembagaan yang telus.
Kata beliau, sepatutnya proses tersebut tidak perlu menjadi satu isu seterusnya dikhuatiri bertukar menjadi krisis Perlembagaan sekiranya keputusan empat ADUN itu diterima dan dinilai secara harmoni tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini bukan politiking, apa yang berlaku adalah sebenarnya penentangan terhadap kemungkaran dan membina semula keyakinan rakyat. Perlembagaan di atas segalanya, jika pembubaran mengikut semangat Perlembagaan ia adalah wajar.
“Namun jika ada sebarang usaha untuk menidakkan Perlembagaan oleh tangan-tangan tertentu, ini akan mencemarkan institusi Tuan Yang Dipertua Negeri sebagai simbol perpaduan dan keharmonian negeri,” katanya.
Beliau mempersoalkan tindakan membubarkan DUN di saat rakyat berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan kini perlu berdepan dengan risiko perlaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kata tidak boleh ada pilihan raya kerana pandemik, jika demikian kenapa bubar? Rakyat melihat dan menilai apa yang berlaku dan ini membawa padah apabila pertukaran kepimpinan yang sepatutnya berlaku secara harmoni telah menjadi isu dan dikhuatiri boleh menjadi krisis Perlembagaan dan memalukan Malaysia di mata dunia,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Selasa lalu mengumumkan pembubaran DUN Melaka selepas mendakwa pembubaran itu dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Pembubaran DUN itu diumumkan Ab. Rauf selepas Idris bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad bersepakat menarik sokongan terhadap Sulaiman. – UTUSAN ONLINE