BALING: Seramai 79 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian banjir di daerah ini sejak malam semalam.
Tiga PPS yang dibuka itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung, SK Bandar dan Dewan Orang Ramai Banggol Derom.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata, kebanyakan mangsa terbabit mula berpindah selepas rumah mereka dinaiki air pada pukul 10 malam.
Menurutnya, kejadian banjir tersebut berlaku selepas hujan lebat di daerah itu pada pukul 5.45 petang.
Katanya, hujan lebat berterusan itu turut menyebabkan limpahan air Sungai Ketil ke kawasan penempatan penduduk.
“Setakat pukul 3 petang ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di PPS di SK Titi Gantung ialah seramai 29 mangsa daripada 10 keluarga manakala PPS pula menempatkan 12 mangsa daripada dua keluarga.
“PPS Dewan Orang Ramai Banggol Derom pula menempatkan seramai 38 mangsa daripada sembilan keluarga,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, jumlah keseluruhan rumah yang terkesan dalam kejadian banjir itu pula sebanyak 282 buah.
Jelasnya, kampung yang terjejas di Mukim Pulai antaranya ialah Kampung Padang Che Mas, Kampung Tok Weng, Kampung Temusu, Kampung Dalam Wang, Kampung Pokok Sena dan Kampung Sungai Limau.
Bagi Mukim Baling/Bongor pula melibatkan Kampung Lubuk Pedati, Kampung Banggol Derom, Kampung Lahar, Kampung Sungai Batu, dan Kampung Dusun Ghani sementara Mukim Siong pula melibatkan Kampung Siput dan Kampung Bandar.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati pada musim hujan ini dan segera berpindah ke tempat selamat apabila air mulai naik,” katanya.