fbpx

70,000 hartanah terbiar, tidak terjual di JB

HASNI Mohammad (tengah) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima rumah sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Taman Setia Indah di Pusat Komuniti Taman Ekoflora di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memandang serius terhadap isu sektor hartanah yang terjejas dengan kira-kira 70,000 unit rumah di bandar raya ini yang tidak terjual, terbiar dan tidak diduduki.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, antara perkara yang memberi kesan utama kepada sektor hartanah itu adalah dasar dan syarat baharu pemilikan rumah seperti Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diperkenalkan. 

Katanya, bagi membantu pihak pemaju yang terkesan, kerajaan negeri akan melihat kerjasama dengan syarikat hartanah selain memperkenalkan program penyewaan kepada generasi muda. 

“Syarat baharu MM2H yang diperkenalkan menyebabkan banyak unit rumah yang tidak terjual. Jadi, kerajaan negeri perlu membantu mereka terjejas termasuklah pihak pemaju.

“Perkara ini melibatkan satu jumlah yang sangat besar. Oleh itu, kita akan bekerjasama dengan ejen hartanah berkenaan unit tidak terjual, jenis-jenis unit, kadar sewa yang sesuai serta lokasi unit berkenaan. 

“Kita mengenal pasti unit yang boleh kerajaan masukkan dalam rancangan penyewaan kepada generasi muda,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Kos Sederhana Rendah dan Rumah Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), Taman Setia Indah di Pusat Komuniti Taman Ekoflora di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, isu rumah yang tidak terjual, terbiar dan tidak diduduki perlu diatasi bagi menjaga status Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). 

“Dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru lebih 70,000 unit rumah yang tidak terjual, belum diduduki dan mungkin dah jual tapi tiada orang duduk. Kita tidak boleh berada dalam keadaan begitu jika mahu jadi bandar raya yang dinamik,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

POPULAR

KOSMO! TERKINI