TASEK GELUGOR: Kira-kira 400 jenis produk yang diusahakan oleh 40 usahawan desa akan dipamer dan dipromosikan di stor berkonsepkan DesaMall melalui Program DesaMall@Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Pulau Pinang, hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Lokal Sdn. Bhd. (E-Lokal), Ahmad Shah Wahid selaku pentadbir program DesaMall@KPLB berkata, 80 peratus daripada produk tersebut diusahakan oleh usahawan-usahawan di utara Semenanjung manakala selebihnya dibawa dari negeri-negeri lain.
Katanya, ketika ini stor tersebut telah dibuka di beberapa lokasi lain termasuk di Putrajaya; Lipis, Pahang serta di Mersing, Johor.
“Kita juga menerima permintaan daripada Perda (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) menerusi koperasinya untuk membuka outlet baharu di utara (Pulau Pinang).
“Jadi, selain Pulau Pinang, kita menjangkakan sebuah lagi outlet DesaMall@KPLB akan dibuka di Ipoh, Perak hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, E-Lokal memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Koperasi Perda (Koperda) untuk membangunkan stor berkenaan di kawasan Simpang Empat Permatang Buluh, Sungai Dua, dekat sini.
Turut berlangsung ialah majlis menandatangani MoU bersama syarikat Al-Haddad Mart Sdn. Bhd. yang dijangka membuka sebuah kafe di stor tersebut apabila beroperasi kelak.
Selain Ahmad Shah yang mewakili E-Lokal, memorandum itu turut ditandatangani oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda, Asri Baharum dan Pengadas Al Haddad Group, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin Anuar.
Dalam pada itu, Ahmad Shah memberitahu, pihaknya menyasarkan penyertaan sehingga 3,000 usahawan bersama 3,000 jenis produk di bawah program DesaMall@KPLB sehingga penghujung tahun ini.
Katanya, ketika ini jumlah usahawan yang terlibat adalah seramai 2,826 yang memasarkan produk masing-masing.
“Stor runcit DesaMall@KPLB ini diwujudkan bertujuan memberi peluang kepada usahawan khususnya di kawasan luar bandar untuk mempromosikan produk-produk mereka terutamanya secara fizikal.
“Pada masa sama, kita juga akan menawarkan pembelian secara dalam talian dan pelanggan bebas memilih sama ada datang membeli dan melihat sendiri produk atau melakukannya menerusi khidmat penghantaran sahaja,” katanya. – UTUSAN