3 lokaliti termasuk 2 kampung Orang Asli tamat PKPD esok - Utusan Malaysia

3 lokaliti termasuk 2 kampung Orang Asli tamat PKPD esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga lokaliti termasuk dua perkampungan masyarakat Orang Asli ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula pada esok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, antara lokaliti itu ialah Kampung Mokodou, Ranau, Sabah.

Perkampungan dihuni majoriti masyarakat etnik Dusun itu dikenakan PKPD sejak 4 Oktober lepas susulan kluster komuniti yang berpunca daripada upacara pengebumian penduduknya.

Kes indeks dikesan pada 25 September lalu asalnya daripada seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun ketika disaring di Hospital Ranau setelah isterinya meninggal akibat kanser usus.

Turut ditamatkan PKPD ialah perkampungan terpencil didiami lebih 300 penduduk Orang Asli suku kaum Mok di Kampung Sungai Kelang dalam Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.

Lokaliti itu dilaksanakan sekatan ekoran pergerakan penduduk dari lokasi berjiran yang ada banyak kes aktif Covid-19 ke kawasan kampung itu dan menjangkiti 143 individu kontak rapat.

Tidak ketinggalan berakhir di negeri tersebut pada esok juga ialah Kampung Ulu Pareh dalam Mukim Sabai, Bentong yang sudah lama dikenakan PKPD pada 20 September lalu.

Ia diwartakan PKPD susulan kluster komuniti tercetus pada 18 September daripada seorang penduduk bergejala yang menjangkiti keluarga dan komuniti Orang Asli etnik Semai di situ.

Rodzi turut memaklumkan, tiada lokaliti baharu diwartakan PKPD atau lokaliti sedia ada yang akan dilanjutkan lagi tempoh sekatan berkenaan buat hari keempat berturut-turut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN