3 kategori pengembara dibenar kuarantin wajib 7 hari  - Utusan Malaysia

3 kategori pengembara dibenar kuarantin wajib 7 hari 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, tiga kategori pengembara dari luar negara dibenarkan pengurangan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari bermula Isnin ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang terbabit adalah mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara.

Beliau berkata, kategori lain termasuk kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan individu yang diberi perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa seperti individu yang pulang dari kawasan berisiko tinggi penularan jangkitan.

“Semua individu yang dinyatakan itu adalah tertakluk kepada pengurangan tempoh kuarantin wajib ini berkuat kuasa pada 18 Oktober ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

KHAIRY JAMALUDDIN

Menurut Khairy, KKM turut menggariskan beberapa penyelarasan bagi memastikan kelancaran  pelaksanaan tempoh kuarantin baharu ini.

Beliau berkata, mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19 boleh menikmati kemudahan itu, manakala kuarantin 10 hari bagi yang tiada atau tidak lengkap  vaksinasi.

Menurutnya, bagi individu yang sedang menjalani kuarantin wajib, mereka diberi Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian diumumkan.

“Bagaimanapun ujian RT-PCR perlu dijalankan sebelum Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

“Sehubungan itu, bagi individu yang sedang menjalani kurantin wajib hari kelima dan ke atas serta  lengkap vaksinasi, mereka menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.

“Sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 negatif, mereka diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober ini,” katanya.

Katanya, bagi individu yang tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 dan sedang menjalani kurantin wajib hari kelapan dan ke atas, mereka juga boleh menjalani ujian RT-PCR   bermula hari ini.

Kata beliau, garis panduan sedia ada yang  berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ini menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN