KUALA LUMPUR : Tiga ahli Dewan Negara mengangkat sumpah hari ini dimana dua daripadanya adalah lantikan semula, sementara seorang lagi merupakan lantikan baharu.
Dua senator lantikan semula adalah Lim Hui Ying, merupakan pilihan Dewan undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, dan Datuk Haji Husain Awang yang merupakan pilihan DUN Terengganu.
Bagi lantikan baharu, Datuk Hisamudin Yahaya, merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuatkuasa 4 Oktober 2021.
Pada sidang media pagi ini, Hisamudin berkata beliau akan meletakkan fokus dalam isu kehidupan penjawat awam di Putrajaya, selain kelestarian kehidupan di Kuala Lumpur.
“Selain itu saya juga akan memberi fokus dalam isu sukan, pelancongan, dan masyarakat seluruhnya,” katanya ringkas selepas upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara, hari ini.
Hisamudin merupakan Ketua Pengarah Eksekuti Gen Rekabumi (M) Sdn Bhd, Ahli Eksekutif Bola Sepak Malaysia 2021-2025.
Selain menjawat jawatan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Hisamudin juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran, FAM 2021-2025 serta Ahli Lembaga Malaysia Football League (MFL) 2021-2025.
Dalam pada itu, Hui Ying juga turut berkata beliau akan memfokuskan dalam usaha membantu penduduk Pulau Pinang yang terjejas akibat Covid-19.
“Saya akan menyentuh dalam isu kesihatan, ekonomi, dan menambah baik supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun dengan cara yang berbeza dengan orang lain.
“Begitu juga dengan masalah mental, sosial ahli keluarga yang menjadi mangsa akibat Covid-19 ini,” ujarnya lagi.-UTUSAN ONLINE