2 penyelia pembersihan pukul gelandangan di Komtar ditahan - Utusan Malaysia

2 penyelia pembersihan pukul gelandangan di Komtar ditahan

TANGKAP layar dari salah satu video yang memaparkan gelandangan dipukul dipercayai berlaku di kawasan Komtar, Georgetown, Pulau Pinang yang tular di dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menahan dua penyelia pembersihan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) selepas didapati memukul dua lelaki termasuk gelandangan dalam kejadian 6 Oktober lalu. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 43 tahun itu ditahan pukul 9 malam di hadapan sebuah bank di Komtar, Ahad lalu. 

Kata beliau, penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat salah seorang mangsa pukul 7 petang hari sama. 

Katanya, mangsa mendakwa merakam melalui telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan pukul 2 petang  6 Oktober lalu di hadapan sebuah bank di Komtar. 

“Mangsa mendakwa dia turut dipukul oleh dua lelaki tersebut selepas mereka menyedari mangsa merakam perbuatan mereka. 

“Mangsa dipukul berkali-kali sehingga mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sejak beberapa hari lalu, tiga klip video masing-masing berdurasi dua minit; 20 saat dan 45 saat yang  memaparkan dakwaan seorang lelaki dipukul oleh beberapa individu di tempat awam tular dalam media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang awam. 

Dalam pada itu, Soffian berkata, siasatan awal polis mendapati, kedua-dua suspek berkenaan sering memukul peminta sedekah atau gelandangan yang berada di lokasi tersebut selepas mendakwa golongan itu sering membuat kotor di kawasan terbabit. 

Katanya, polis turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa. 

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah namun ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah. 

“Mereka telah selesai direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata. 

“Kertas siasatan juga telah lengkap dan akan diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya. 

Dalam pada itu, Soffian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain. 

Katanya lagi, orang awam perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya