192,000 usahawan MEDAC disaran carum Perkeso

192,000 usahawan MEDAC disaran carum Perkeso

NOH Omar (tengah) menyampaikan barang keperluan pencarum Perkeso di pejabat Perkeso Tanjung Karang, Selangor hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seramai 192,000 usahawan dan ahli koperasi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) supaya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai satu kaedah perlindungan daripada kemalangan.

Perlindungan itu termasuklah seperti faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal serta kematian.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim perlindungan yang ditawarkan Perkeso amat bermanfaat untuk memberi perlindungan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap mereka di masa hadapan khususnya bagi golongan B40.

“Oleh itu, MEDAC akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memudah carakan permohonan dua golongan ini mencarum dengan Perkeso. Bagi saya, rugi sekiranya usahawan dan ahli koperasi tidak mencarum dengan pertubuhan ini memandangkan skim faedah yang diberikan kepada pencarum.

“Sekiranya berlaku kematian, manfaat daripada Perkeso boleh dinikmati waris termasuk pemberian pencen ilat sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa pencarum,” katanya selepas menghadiri sambutan Jubli Emas ke-50 Perkeso peringkat Tanjung Karang di pejabat Perkeso Tanjung Karang, di sini hari ini. 

Sebagai permulaan menurutnya, kementeriannya akan cuba menarik lebih 300 usahawan di kawasan parlimen Tanjung Karang mencarum dengan skim yang disediakan. 

Sementara itu, Pengerusi Perkeso Selangor, Zainol Abu berkata, antara skim yang ditawarkan pihaknya seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS). 

Di bawah skim ini menurutnya, peniaga yang berpendapatan RM1,050 sebulan boleh mencarum serendah RM157.12 setahun. 

“Mereka boleh membuat pembayaran sekaligus atau dua kali setahun, mengikut kemampuan masing-masing. 

“Ini adalah tujuan utama penubuhan Perkeso yang mahu memberikan melindungi seramai mungkin golongan pekerja di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN