SEPANG: Seramai 120 penduduk di 11 kawasan dalam mukim Labu dan Dengkil yang terjejas dengan bencana banjir kilat ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata, ketika ini semua mangsa menjalani ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan selepas seorang penduduk dikesan positif sebelum dipindahkan ke PPS di dua mukim itu.
“Penduduk sekitar mukim Labu yang didapati positif Covid-19 akan dipindahkan ke Balai Raya MPKK Kampung Giching, manakala mereka yang negatif pula ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching dan Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut.
“Bagi Mukim Dengkil pula, Dewan Gemilang Taman Gemilang digunakan sebagai PPS bagi mereka yang positif manakala SRA Kampung Dato Ahmad Razali pula dikhaskan bagi penduduk yang negatif,” ujarnya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Khairi Azali berkata, sebanyak 11 kawasan dalam mukim Labu dan Dengkil terlibat dengan banjir kilat bermula malam tadi.
Katanya, Mukim Labu membabitkan empat kampung iaitu, Kampung Chincang, Kampung Salak Tinggi, Kampung Giching, Taman Dataran Abadi dan Kampung Labu Lanjut.
“Bagi mukim Dengkil pula ia melibatkan Kampung Sri Tanjong, Kampung Chemperai, PPRT Ampar Tenang, CCVC Kota Warisan, Kampung OA Bukit Tampoi (Seberang), Kampung OA Sungai Melut dan Kampung OA But.28 Jenderam Hilir,” jelasnya. – UTUSAN