12 ekor kakak tua tanpa lesen disita Perhilitan - Utusan Malaysia

12 ekor kakak tua tanpa lesen disita Perhilitan

ANTARA sebahagian hidupan liar tanpa lesen yang dirampas Perhilitan di Pahang baru-baru ini. – IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan seorang individu memelihara tanpa lesen 12 ekor burung kakak tua jenis Sun Conure membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, baru-baru ini dalam satu serbuan di sebuah premis di Kerdau, Daerah Temerloh, Pahang.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam serbuan di bawah Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah itu, mereka menyita antaranya sejumlah 12 ekor spesies Sun Conure yang mahal harganya di pasaran domestik.

 Burung itu yang juga dikenali sebagai Parakeet Matahari, termasuk dalam senarai merah unggas terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sejak 2008.

 Ia berasal dari rantau Amerika Selatan namun popular dijual melalui laman e-dagang secara haram dengan harga anaknya antara RM450 sehingga mencecah RM4,500 bagi induk.

 Turut disita dalam operasi yang mendapat kerjasama daripada Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu ialah dua ekor burung ruak-ruak, dua ekor ayam pegar, seekor helang, selain seekor kura-kura besar jenis Baning atau hutan Asia dan seekor musang pandan atau luwak.

Mereka juga bahkan menemukan tiga bahagian hidupan liar yang disyaki sebagai kulit ular sawa di samping masing-masing satu ketul tanduk daripada rusa dan secarik kulit pelanduk.

Kenyataan Perhilitan itu menambah, suspek dan kesemua barangan kes berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi tindakan siasatan seterusnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Pemilikan haiwan liar tanpa dokumen jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya