10 individu diberkas terlibat judi, penipuan dalam talian - Utusan Malaysia

10 individu diberkas terlibat judi, penipuan dalam talian

Rangka manusia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua unit kediaman di Jalan Tembaga, Off Jalan Pahang, di sini yang dijadikan tempat kegiatan perjudian, penipuan pelaburan dan pembelian dalam talian terbongkar selepas 10 individu termasuk tiga warga China ditahan semalam.

Penahanan kesemua suspek terdiri sembilan lelaki dan seorang wanita itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hasil risikan dan maklumat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil serbuan itu, 32 telefon bimbit dan tiga unit pemprosesan komputer (CPU) serta monitor komputer (3 unit) dirampas.

Turut dirampas, masing-masing lima kad mesin juruwang automatik (ATM) dan komputer riba, selain beberapa modem serta peralatan lain untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek bekerja sebagai operator untuk mencari pelanggan, membuat panggilan dan mempromosikan perjudian dalam talian melalui media sosial.

“Kediaman berkenaan disewa antara RM3,500 hingga RM5,000 sebulan dan semakan lanjut mendapati kegiatan itu dijalankan mereka sejak Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ashari, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kata beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana sindiket dan individu terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan haram berkenaan.

“Polis akan melipatgandakan usaha dan melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian.

“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2146 0584/585) atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN