Warga emas sertai sukarelawan urus jenazah Covid-19 - Utusan Malaysia

Warga emas sertai sukarelawan urus jenazah Covid-19

FARIDAH Said melakukan persiapan dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum memguruskan jenazah pesakit Covid-19 di Merbok, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas tidak menjadikan usianya sebagai halangan untuk menyumbang keringat sebagai sukarelawan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di sini sejak awal bulan lalu.

Warga emas berkenaan, Faridah Said, 63, berkata, sebelum ini, dia hanya membantu menyediakan makanan untuk Team Hang Cangkul iaitu sebuah pasukan sukarelawan yang menguruskan jenazah Covid-19 di daerah ini.

Dia yang merupakan seorang tukang masak di sebuah institusi pengajian Islam, Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di Kampung Telok di sini berkata,  sejak itu, timbul keinginan dalam dirinya untuk bersama mereka menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

“Sebelum ini, saya pendam keinginan untuk menyertai mereka menguruskan jenazah kerana bimbang tidak sesuai dengan usia saya.

“Namun, tidak sangka hasrat saya itu disambut baik oleh Team Hang Cangkul yang kemudiannya membenarkan saya menyertai mereka menguruskan jenazah di sekitar Sungai Petani.

“Saya akan ikut mereka menguruskan jenazah sebaik sahaja selesai kerja di MADAD dan setakat ini, saya telah membantu menguruskan enam jenazah pesakit Covid-19,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, walaupun dia hanya diberikan tugas-tugas ringan sahaja, namun, dia bersyukur kerana dapat menyumbang sedikit keringatnya itu untuk menambah sahamnya di akhirat nanti.

Katanya, dia juga bersyukur kerana suaminya, Ahmad Arif, 75, serta empat orang anaknya yang berusia antara 34 hingga 40 tahun juga sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya itu.

“Ahli keluarga sentiasa menyokong minat saya dalam melakukan kerja-kerja sukarelawan ini, malah, saya juga selalu mengingatkan mereka supaya turut serta menjadi sukarelawan walaupun tidak dibayar gaji.

“Saya tak mampu nak bagi sumbangan dalam bentuk wang ringgit, jadi saya ambil pendekatan bagi sumbangan tenaga dengan jadi sukarelawan mengurus jenazah Covid-19,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN