JOHOR BAHRU: Seorang warga emas wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa berusia 69 tahun memberitahu, dia dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram awal bulan ini.
“Panggilan itu turut disambungkan kepada seorang lagi individu lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai polis dengan memperkenalkan diri sebagai Mr. Yong.
“Mangsa yang berasa takut mengikut arahan diberi iaitu membuka sebuah akaun bank selain memberi nombor siri kad ATM dan nombor pin akaun kepada suspek.
“Antara 3 hingga 17 September, mangsa memindahkan wang sebanyak RM1,032,513.65 daripada beberapa akaun miliknya ke dalam akaun terbabit selain turut memberi nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan terhadap akaun berkenaan semalam dan mendapati kesemua wang berkenaan sudah tiada.
“Sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE