PETALING JAYA: Warga emas yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terbakar di parkir Blok D Warisan Cityview, Jalan Cheras dekat sini dipercayai mengalami kemurungan.
Mayat lelaki berusia 82 tahun itu ditemukan dalam keadaan melecur 70 peratus di bahagian tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, semakan polis mendapati Perodua Kancil berkenaan didaftarkan atas nama lelaki terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu menaiki kereta pada pukul 9.20 pagi dan masuk semula kira-kira 15 minit kemudian.
“Bagaimanapun, pada pukul 9.50 pagi berlaku letupan dari dalam kenderaannya dipercayai berpunca daripada bahan bakar yang mana bekas plastik ditemukan di tempat duduk hadapa.
“Siasatan oleh pihak bomba mengesahkan tiada kerosakan enjin kenderaan dan kebakaran hanya membabitkan bahagian dalam kereta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Idzam berkata, temubual dengan anak mangsa mendapati bapanya mengalami kemurungan sejak kebelakangan ini selain ada masalah kesihatan seperti kencing manis serta darah tinggi.
Ujarnya, kejadian disyaki berpunca daripada masalah kesihatan iaitu kemurungan yang dialaminya.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut diteruskan.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk bedah siasat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










