PETALING JAYA: Pelajar tingkatan satu dan wanita bergelar ‘nenek’ antara 17 individu ditahan polis kerana terlibat dalam parti liar di sebuah residensi mewah, di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.
Turut ditemukan dalam serbuan kira-kira pukul 11.55 malam itu adalah dadah jenis pil ekstaksi seberat 10.73 gram dan ketamin seberat 2.88 gram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan wanita berusia antara 13 tahun hingga 54 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati penganjur parti tersebut adalah wanita berusia 23 tahun bagi menyambut ulang tahun kelahirannya.
“Kita turut mendapati ada antara mereka adalah pelajar sekolah berusia 13 tahun yang mengikut abangnya menyertai parti tersebut.
“Selain itu, terdapat pengunjung wanita berusia 54 tahun yang mempunyai dua cucu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sahar, soal siasat ke atas penganjur mendapati premis tersebut disewa dengan harga RM350 untuk sehari.
Jelasnya, bagaimanapun, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung lain hadir.
“Turut dirampas kunci dan kad akses premis tersebut, satu unit pembesar suara dan unit lampu laser.
“Ujian saringan turut dijalankan mendapati sebanyak empat lelaki dan empat wanita yang disahkan positif methaphetamine dan ketamin,” ujar beliau.
Tambahnya, semua pengunjung dikenakan kompaun individu berjumlah RM2,000 di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No. 2) 2021.
Jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan adalah berjumlah RM34,000.
“Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a). Pemilik kediaman dan penganjur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis memandang serius penyalahgunaan dadah dan seterusnya aktiviti tidak bermoral dan memohon kerjasama pihak pengurusan hotel, servis apartment serta kondominium untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti parti liar,” katanya. – UTUSAN ONLINE