Pelancong wajib jalani ujian Covid-19 sebelum ke Langkawi 

Pelancong wajib jalani ujian Covid-19 sebelum ke Langkawi 

PELANCONG perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum ke Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi supaya menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau peranginan itu, berkuat kuasa esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelancong perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. 

Beliau berkata, keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas.

KHAIRY JAMALUDIN

“Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di tempat saringan yang disediakan.

“Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang disediakan pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, ujian pengesanan ini dilakukan ke atas individu dewasa berusia 18 tahun ke atas serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun. 

Khairy berkata, bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah pula, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka  untuk mengeluarkan saliva. 

Menurutnya, kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan mereka hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan anggota kesihatan yang bertugas. 

“Bagi mereka yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat yang sedia ada,” katanya.

Menurut Khairy, beliau ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan itu tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.

Jelasnya lagi, kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan, tetapi juga perlu bersandarkan kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu mengumumkan bahawa Langkawi dipilih sebagai projek rintis bagi program gelembung perjalanan bermula esok.

Kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN