PADANG BESAR: Bapa kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly, 24, menunaikan nazar membotakkan kepalanya apabila anak bongsunya itu berjaya merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, semalam.
Romly Mat, 70, mencukur rambut di halaman rumahnya di Taman Emas, Beseri, di sini hari ini iaitu sehari selepas atlet negara itu menghadiahkan pingat emas untuk negara dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).
Katanya, ini bukan kali pertama dia bernazar sedemikian, malah, telah membuat nazar yang sama ketika anaknya itu memecah rekod dunia pada Sukan Paralimpik di Rio, Brazil pada 2016.
“Saya memang berdoa agar dia dapat mendapat pingat emas pada acara kali ini dan Alhamdulillah, apabila dia berjaya, saya menunaikan nazar saya untuk membotakkan kepada pada hari ini. Baru sehari dua ini yang saya bernazar pun.
ROMLY Mat ditemani isteri menunaikan nazar selepas anaknya memenangi emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran). – VIDEO/NAZLINA NADZARI
“Harapan saya adalah semoga dia dapat meneruskan dalam acara sukan pada masa depan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, kakak Latif, Siti Aminah, 34, berkata, dia sempat berhubung melalui panggilan video bersama adiknya itu kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Semasa mula-mula telefon, dia tidak jawab, mungkin kerana masih lagi menjalani rawatan. Apabila dapat menghubunginya, dia memberitahu bahawa dia tidak boleh berjalan lama dan masih perlu menggunakan kerusi roda.
“Dia ada memberitahu jenis kecederaan itu, cuma saya tidak pasti dan kurang dengar. Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan tahap kecederaannya itu. Saya pun tidak mahu mengganggunya begitu lama dan mahu dia berehat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Siti Aminah turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, guru-guru Latif serta rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada adiknya itu.










