Ujian kesan Covid-19 bukan mahu susahkan pelancong - Nancy

Ujian kesan Covid-19 bukan mahu susahkan pelancong – Nancy

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua dari kiri) melakukan gimit pelancaran pada Majlis Pelancaran inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi malam tadi. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Keputusan kerajaan mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke pulau Langkawi bukan bertujuan menyusahkan pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau itu disebabkan kehadiran pelancong.

Pada masa sama, katanya, kerajaan ingin memastikan projek rintis gelembung pelancongan di pulau legenda ini berjaya dan menjadi tanda aras bagi pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan lain.

Katanya, jika berlaku peningkatan kes Covid-19, terdapat kemungkinan tindakan drastik termasuk menutup kembali Langkawi kepada pelancong terpaksa diambil kerajaan bagi mengekang penularan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah meminta ujian saringan dibuat ke atas pelancong sebelum ke Langkawi, walaupun ia agak mengelirukan orang ramai, tetapi ia dibuat dengan niat baik.

“Dalam mesyuarat sebelum ini, kita putuskan ujian saringan tidak perlu kerana hanya individu lengkap dua dos dibenarkan ke Langkawi, tetapi mereka sebenarnya masih boleh dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi di sini malam tadi.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan semalam, memaklumkan pelancong yang akan ke Langkawi bermula esok perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy berkata ujian saringan mesti dilakukan oleh individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, tempoh dua minggu pertama juga penting dalam menentukan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.

“Dalam tempoh dua minggu ini kita akan memantau jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi dan ia akan dijadikan tanda aras bagi menentukan sama ada destinasi pelancongan lain dapat dibuka.

“Kita harap tidak ada kes serius berlaku dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sepanjang tempoh berkenaan bagi membolehkan ekonomi Langkawi kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata, pelancong yang masuk ke Langkawi pada hari pertama sempena  projek rintis itu, tidak perlu bimbang kerana ujian pengesanan akan dibuat secara percuma di lapangan terbang dan terminal feri.

Bagaimanapun, tambahnya, pihaknya belum menentukan sama ada ujian pengesanan secara percuma itu akan diteruskan kerana ia membabitkan kos yang perlu diserap KKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN