PETALING JAYA: Pembinaan struktur yang menyalahi undang-undang antara punca berlakunya kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang, dekat sini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia adalah antara perkara yang beliau lihat semasa melakukan tinjauan di kawasan berkenaan.
“Kita memahami keperluan rakyat yang mungkin mahu mengubah suai rumah kerana mempunyai ahli keluarga besar dan ramai tetapi undang-undang dan peraturan mesti dipatuhi terutama di kawasan yang mempunyai kecerunan berisiko tinggi.
“Proses pembinaan asal mengikuti garis panduan yang ditetapkan, tetapi apabila sudah selesai, terdapat segelintir rakyat yang mahu mengubah suai rumah dan sebagainya. Perkara itu di luar pemantauan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di sini.
Jumaat lalu, kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights menyebabkan rumah teres dua tingkat yang dihuni 28 keluarga terjejas dan mereka diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Takiyuddin berkata, kejadian tersebut tercetus disebabkan oleh faktor hujan sama ada turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama.
Katanya, faktor pencetus tersebut bersama faktor penyumbang lain seperti bahan geologi dan morfologi cerun di tempat kejadian menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku.
“Ketika ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang menjalankan pemeriksaan manakala pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya akan membina penahan di lereng-lereng bukit terjejas,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE