PETALING JAYA: Tujuh warga asing ditahan dipercayai terlibat dengan penipuan pelaburan dalam talian dalam serbuan di premis di Mont Kiara, dekat sini semalam.
Kesemua individu berusia 26 tahun hingga 35 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Bahagian Siasatan Risikan/ Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak Mac lalu.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai menyasarkan mangsa dari Korea.
“Turut dirampas 14 unit monitor, tujuh unit central processing unit (CPU), 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set modem dan set router.
“Kesemua tangkapan ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ sehingga 15 September untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.- UTUSAN ONLINE