PUTRAJAYA: Tidak sampai 24 jam dibangkitkan, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. menghantar sejumlah lori tangki untuk 23 kawasan di sini yang mengalami gangguan bekalan.
Bersyukur dengan tindakan pantas itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut meninjau kerja-kerja penghantaran kepada para penduduk yang terjejas.
Menerusi kenyataan dalam akaun sosial Facebooknya, beliau difahamkan pihak Air Selangor sudah bertindak sebaik mungkin atas isu yang dibangkitkannya itu pada sebelah awal pagi.
“Selepas habis mesyuarat pasca-Kabinet tadi, saya terus bergerak ke Putrajaya Sentral untuk mengucapkan terima kasih kepada petugas lori agensi berkenaan,” katanya dalam catatan itu.
Beliau pada masa sama juga memaklumkan kepada wakil Air Selangor agar terus aktif dalam mencari penyelesaian tempoh jangka panjang agar isu gangguan bekalan tidak berulang lagi.
Malah beliau amat menghargai semua pasukan agensi tersebut kerana sibuk bertungkus-lumus memastikan bekalan air bersih sentiasa ada di setiap rumah penduduk di Putrajaya.
Semalam, sejumlah 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air yang tidak berjadual sejak 12 tengah hari termasuk 23 kawasan dalam Putrajaya meliputi Presint 1 sehingga Presint 20 ekoran Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dekat sini yang perlu dihentikan tugas akibat pencemaran bau seakan-akan bahan tercemar kimia.
Tanpa mahu mencari salah sesiapa, Jalaluddin berkata, beliau hanya mahu memberi jaminan bahawa kemudahan asas sebegini tidak akan mengakibatkan kualiti hidup rakyat terganggu.
“Saya turut meminta pegawai saya untuk membelikan sedikit makanan buat para petugas Air Selangor yang kepenatan agar mereka dapat juga ‘alas perut’ sewaktu sedang berehat tadi.
“Pada saya, mereka ini juga boleh disifatkan sebagai antara wira barisan hadapan buat kita semua khususnya warga Putrajaya,” tambah.