JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan seorang pengguna media sosial yang menyatakan terdapat ramai pesakit di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini terkorban akibat terputus bekalan oksigen.
Pengguna akaun sosial Facebook bernama ‘Nama Saya Ana’ itu mendakwa kejadian itu berlaku ekoran ketiadaan bekalan elektrik bermula pukul 11 malam, semalam.
Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, gangguan bekalan elektrik berlaku terhadap kuasa normal pada pukul 11.10 malam namun bekalan kuasa essential masih beroperasi sepenuhnya.
Menurut beliau, hal itu ekoran penggunaan bekalan elektrik daripada generator.
“Tindakan awal pemeriksaan telah dijalankan syarikat konsesi yang mendapati Air Circuit Breaker dalam keadaan trip. Punca gangguan telah dikenal pasti dan kerja pembaikan telah dijalankan.
“Kerja penyambungan semula bekalan diteruskan sehingga pukul 9 pagi (hari ini) manakala pada pukul 9.30 pagi, bekalan elektrik kuasa normal telah dipulihkan semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan pengguna akaun ‘Nama Saya Ana’ yang mengatakan terdapat ramai pesakit maut akibat terputus bekalan oksigen ekoran masalah gangguan bekalan elektrik di hospital berkenaan.
Individu berkenaan turut mendakwa dia menjadi saksi kejadian tersebut.
“Kejadian malam semalam di HSI ramai nyawa terkorban kerana kurang oksigen. Tiada bekalan elektrik daripada pukul 11 malam sampai sekarang.
“Telinga saya menjadi saksi suara mohon bantuan, akhirnya mereka mati. Ampun tuanku, mohon bantu kami di HSI,” dakwanya yang turut memaut kenyataan itu ke akaun rasmi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tambah Dr. Aman, kejadian yang berlaku itu tidak melibatkan sebarang implikasi besar kepada penjagaan dan perawatan pesakit di wad terlibat.
“Pihak pengurusan ingin memaklumkan tiada kematian yang disebabkan oleh insiden bekalan elektrik terputus ini,” ujarnya. – UTUSAN