SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada sebarang isu berbangkit di pihaknya berhubung ketiadaan nama beliau dalam senarai jemaah menteri yang dilantik, baru-baru ini.
Menyifatkan bukan mudah memikul tugas sebagai menteri dalam situasi negara berhadapan dengan krisis ketika ini, Mohamad bagaimanapun menjelaskan akan terus mendukung kerajaan yang ada pada masa ini.
“Banyak juga hikmah tiada dalam Kabinet ini kan, bukan senang untuk menjadi menteri dalam situasi krisis.
“Bagaimanapun, saya selaku orang nombor dua dalam parti, akan mendukung kerajaan. Yang penting kerajaan ini mesti didukung kuat oleh parti, untuk parti dapatkan kekuatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi DUN Negeri Sembilan selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.
Mengulas mengenai desakan dan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya beliau diberi peluang berada dalam jemaah menteri, Mohamad berkata, itu hanyalah cadangan pihak berkenaan.
“Masing-masing punya cerita, saya rasa lega tiada dalam Kabinet pun, lagi saya rasa lega, bukan calang-calang dalam barisan Kabinet, dalam masa krisis ketika ini, bukan mudah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, berkenaan satu video yang tular di media sosial baru-baru ini, yang seolah-olah beliau kecewa tidak dipilih sebagai menteri, Mohamad berkata, itu hanyalah reaksinya yang bersahaja.
“Itu saya bersahaja, saya pergi ke masjid di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, dekat dengan rumah saya, dia (individu merakam video) tanya bersahaja, saya juga bersahaja, biasalah politik, dalam politik biasalah, jadi tiada isu,” katanya lagi.
Mohamad sementara itu berharap semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik dapat terus menjalankan tugas dengan keutamaan diberikan bagi menangani krisis Covid-19 dan ekonomi yang melanda negara.
“Dalam situasi krisis, tidak ada masa untuk berbulan madu atau berlengah-lengah lagi. Terus bekerja di atas kepentingan dan keutamaan kita untuk menangani krisis Covid-19 dan ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE