Tetapkan garis panduan khusus pesakit Long Covid - Utusan Malaysia

Tetapkan garis panduan khusus pesakit Long Covid

DR. SUHAZELI ABDULLAH dan DR KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan tampil dengan garis panduan dan polisi jelas dalam menguruskan bekas pesakit-pesakit Covid-19 yang mengalami Sindrom Post Covid atau Long Covid.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ia termasuk menyediakan khidmat rehabilitasi secara komprehensif dan khidmat rawatan jururawat di rumah seperti dilakukan sektor swasta.

“Untuk hospital kerajaan tidak pasti bagaimana kaedah yang akan dilakukan kerana timbul juga persoalan sama ada kerajaan boleh menampung pesakit Long Covid ditambah pula dengan rawatan-rawatan susulan terdahulu.

“Jika di swasta memang ada rawatan seperti ini namun sudah pasti ia seiring dengan kos yang perlu dibayar oleh pesakit. Sebab itu, perlu ada pelan yang membolehkan pesakit-pesakit dapat dapat diuruskan dengan baik.

“Setiap rawatan juga bergantung kepada jenis kes pesakit kerana ada bersifat biasa, sederhana dan teruk. Jadi, kerajaan kena pertimbang kategori pesakit dalam mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Long Covid merupakan keadaan seseorang pesakit masih mempunyai gejala berpanjangan seperti sakit badan, lesu, lemah ingatan dan kurang daya tumpuan dalam tempoh 12 minggu atau lebih walaupun telah sembuh daripada jangkitan wabak berkenaan.

Untuk rekod, setakat 16 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lebih 12,000 pesakit Covid-19 di negara ini yang sudah sembuh dikesan masih mengalami kesan jangka panjang.

Ketika ini, kata Khairy, perkhidmatan rehabilitasi komprehensif khusus kepada pesakit Long Covid dilaksanakan di Hospital Sungai Buloh membabitkan pelbagai bidang kepakaran termasuk Jabatan Perubatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Jabatan Perubatan Rehabilitasi dan kerjasama dengan Hospital Universiti iaitu Unit Respiratori Hospital UiTM.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, pesakit diingatkan untuk mendapatkan rundingan dan rawatan lanjut di klinik dan hospital bagi mengenal pasti setiap peringkat sepanjang melalui sindrom berkenaan.

Katanya, adalah penting setiap pesakit mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan yang cukup mengenai tanda-tanda Long Covid di samping peka dengan setiap maklumat diberikan oleh kerajaan terutama di laman rasmi kementerian.

“Sebelum seseorang dibenarkan pulang selepas sembuh, kita sudah menasihatkan sekurang-kurang membuat pemeriksaan dengan menggunakan oksimeter bagi mengukur tahap oksigen di dalam darah seseorang.

“Jika ada yang tidak mampu mendapatkannya di pasaran, klinik kesihatan boleh meminjamkannya tetapi tidak semua memperolehnya melainkan membeli atas tanggungan sendiri,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN