PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan (MOT) memutuskan untuk melanjutkan proses pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk Lesen Memandu Malaysia (LLM) sehingga 31 Disember in.
Menterinya Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, menerusi tetapan baharu itu, pemilik LKM dan LLM yang tamat tempoh sah tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember ini.
Sebelum ini, pihaknya menetapkan tempoh pembaharuan LKM dan LLM sehingga 30 September dan tindakan penguatkuasaan akan mula dikenakan mulai 1 Oktober ini.
Bagaimanapun, katanya, pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insuran yang sah.
“Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira rungutan dan maklum balas orang ramai yang berdepan kesukaran memperbaharui LKM dan LLM itu di kaunter JPJ,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, orang ramai juga boleh memperbaharui LKM dan LLM secara ‘walk-in’ (jumpa terus) bermula 6 September ini tanpa perlu melalui sistem tempahan seperti dilaksanakan sebelum ini.
Ka Siong berkata, pihaknya juga menetapkan pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ perlu mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status Risiko Rendag Covid-19 pada aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan JPJ yang bertugas.
“Menerusi pengoperasian baharu itu, semua kaunter JPJ di seluruh negara dan kaunter rakan strategik JPJ akan beroperasi 100 peratus secara walk-in mulai Isnin ini.
“Saya juga akan meminta JPJ melihat keperluan untuk membuka kaunter pada hujung minggu bagi melancarkan proses pembaharuan itu,” katanya.
Katanya, mulai 6 September ini juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan berurusan di kaunter JPJ.
Ka Siong berkata, beliau juga menggalakkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau portal rakan stategik seperti Pos Malaysia Bhd, MyEG dan PUSPAKOM untuk apa-apa transaksi lain. – UTUSAN ONLINE