PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kagum atas prestasi menakjubkan atlet paralimpik negara, Cheah Liek Hou yang menyumbangkan pingat emas buat Malaysia.
Beliau berkata, semangat dan kecekalan seperti inilah yang menjadi sumber inspirasi seluruh warga Keluarga Malaysia.
“Syabas Cheah Liek Hou atas prestasi yang sungguh menakjubkan. Pingat emas buat Malaysia!
“Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara. #DemiMalaysia #KeluargaMalaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Liek Hou melakar sejarah muncul pemain Malaysia pertama memenangi pingat emas acara badminton, yang membuat kemunculan sulung dalam Sukan Paralimpik selepas memenangi perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 di Tokyo.
Turun sebagai pemain No. 2 dunia, Liek Hou menewaskan pemain No. 1 dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 di Stadium Kebangsaan Yoyogi.
Liek Hou, 33, menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia di temasya Tokyo 2020 selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin memenangi emas pertama minggu lalu. – UTUSAN ONLINE