SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas jurulatih bola sepak kebangsaan dan Selangor, Ken Worden.
Perasaan simpati itu diluahkan baginda selepas menerima berita kematian mendiang berusia 78 tahun yang meninggal dunia di Australia, Isnin lalu.
Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB) Selangor Royal Office, Ken Worden yang dilahirkan di Preston, England itu bertindak selaku jurulatih bola sepak Selangor pada 1991.
“Beliau telah membawa Selangor menjulang kejuaraan Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.
“Mendiang kemudian dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 sehingga hujung 1993,” katanya petang tadi.
Tambah kenyataan itu, Ken Worden kemudian kembali sebagai jurulatih Selangor pada 1994 dan berjaya memimpin Selangor memenangi Piala Malaysia 1995 dan 1996.
“Selepas meneruskan karier kejurulatihan bersama beberapa pasukan tempatan, mendiang sekali lagi kembali bersama The Red Giants untuk menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.
“Atas jasa dan bakti Ken Woden, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) pada 1996,” katanya.
Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden, dilahirkan pada 2 Februari, 1943 tetapi lebih menyerlah kariernya sebagai pemain dan jurulatih di Australia.
Beliau kemudian berhijrah ke Malaysia pada 1991 untuk menjadi jurulatih Selangor yang muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia di bawah kendaliannya.
Worden kemudian telah dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun, menggantikan Rahim Abdullah.
Dalam tempoh itu, pasukan kebangsaan menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam dan Piala Jakartaraya 1992 serta Pesta Bola Merdeka 1993.
Namun, skuad negara yang membariskan antara lain Zainal Abidin Hassan, Mubin Mokhtar, Khairul Azman Mohamad, K. Gunalan, Azizol Abu Haniffah, Malek Rahman, Dollah Salleh dan Azman Adnan, tewas pada pra-Piala Dunia dan Sukan SEA Singapura 1993. – UTUSAN ONLINE










