SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat Selangor yang menolak vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang boleh menggagalkan usaha mencapai imuniti kelompok.
Seramai 562 orang di negeri ini dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun kempen pemberian vaksin galak dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Daripada jumlah itu, dalam sektor pendidikan seramai 268 adalah guru sekolah kebangsaan, sekolah menengah (182) dan guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) (95). Bagi kategori guru KAFA, seramai 326 orang dikenal pasti belum menerima suntikan vaksin.
Sementara dalam sektor pengurusan agama Islam pula, seramai 17 orang dilapor enggan menerima vaksin mereka adalah pegawai masjid (11 orang) serta jurunikah (6 orang) dan dalam sektor itu juga dilaporkan seramai 20 orang belum menerima suntikan.
Baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang bertitah, akan mengambil tindakan terhadap mereka enggan berbuat demikian kerana khuatir sejumlah besar kematian di negeri ini adalah dalam kalangan bukan penerima vaksin.
“Ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin
“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin. Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19,” titahnya.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan seramai 779 guru di Johor dipanggil menghadap oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana enggan menerima suntikan vaksin selepas perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.
Rata-rata alasan diterima baginda adalah ragu-ragu terhadap suntikan vaksin itu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan, usaha kerajaan adalah bertujuan mengurangkan risiko jangkitan lebih teruk pada masa hadapan dan hukum mengambil vaksin Covid-19 menurut syarak seperti fatwa yang dikeluarkan kerajaan negeri adalah harus.
“Justeru, rakyat beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini banyak kali disebut dalam khutbah Jumaat dan menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang beta keluarkan.
“Beta menyeru kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor ini supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk kebaikan diri sendiri dan masyarakat sekeliling,” titahnya. – UTUSAN ONLINE