KOTA BHARU: Suami kepada wanita dikenali sebagai ‘Sittah Annur’ yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) menafikan dia turut menjadi pengikut kepada isterinya itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, lelaki itu sebaliknya pernah menasihatkan Sittah Annur supaya tidak meneruskan ajaran PMYT yang diasaskannya.
“Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya. Sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menyampaikan bantuan kepada pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara pandu lalu, di sini hari ini.
Sebelum ini wanita berusia 39 tahun menggelarkan diri Sittah Annur meramalkan Perang Dunia Ketiga kononnya bakal berlaku di Sabah selepas bermimpikan perkara itu sebelum mengasaskan gerakan Perjalanan Mimpi Terakhir atau PMYT.
Difahamkan, gerakan PMYT yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar bermula sejak enam bulan lalu melalui medium media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, siasatan terhadap PMYT dijangka selesai tidak lama lagi selepas ia diputuskan bertentangan dengan hukum syarak, hasil mesyuarat khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) minggu lalu yang turut dihadiri beliau bersama mufti.
“Keputusan sudah keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita terbabit dan pengikutnya seramai lebih 1,000 orang. Hukuman akan diputuskan oleh mahkamah.
“Ajaran itu didapati bercanggah dengan agama Islam dan bertentangan dengan hukum syarak. Saya nasihatkan masyarakat kita yang suka menggunakan jalan pintas untuk masuk ke syurga, supaya kembali kepada ajaran Islam dan al-Quran,” katanya. – UTUSAN ONLINE