Sekolah Kebangsaan Penderas dijadikan PKRC rawat Orang Asli

SK Penderas dijadikan PKRC

ISMAIL Mohamed Said (kanan) menerangkan jumlah penduduk masyarakat Orang Asli sekitar Kuala Krau kepada Mahdzir Khalid (kiri) di SK Penderas di Kuala Krau, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas di Kuala Krau, di sini, dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khusus untuk masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PKRC terbabit mampu menempatkan kira-kira 500 pesakit dalam satu masa termasuk di asrama dan kelas yang diubah suai.

“PKRC di sekolah ini mula dibuka sejak semalam (Rabu) dan kini menempatkan 184 Orang Asli yang dijangkiti Covid-19 malah lebih ramai pesakit akan dipindahkan ke sini petang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau PKRC terbabit, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar, Datuk Dr. Jailani Muhamed dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd. Nor

Sejumlah 1,133 masyarakat Orang Asli di sepuluh buah perkampungan sekitar Kuala Krau dijangkiti Covid-19 dengan merekodkan empat kematian.

Perkampungan Orang Asli Kampung Penderas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 September selepas 120 penduduk Orang Asli dijangkiti wabak itu.

Mahdzir berkata, pembukaan pusat kuarantin khas untuk Orang Asli itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan dan Jakoa.

Sementara itu, beliau berkata, sejumlah 134,494 masyarakat Orang Asli sudah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 menerima dos pertama manakala 50,734 orang lengkap dua dos. 

“Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN